Bekas pemain FC Seoul, Ko Kwang-min.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain pertahanan kelab gergasi K-League, FC Seoul, Ko Kwang-min telah menyertai pasukan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Ini merupakan kali pertama pemain yang berusia 34 tahun itu menyertai pasukan Asia Tenggara sejak bersama FC Seoul pada tahun 2011 sebelum dipinjamkan ke kelab Divisyen 3 Korea Selatan pada musim 2017 dan 2018.

Menurut laporan media Korea Selatan, Naver, tiada yuran perpindahan dikenakan atas penghijrahan bekas pemain skuad kebangsaan itu sebagai tanda menghargai jasa beliau sepanjang 11 tahun bersama FC Seoul.

Ko Kwang-min juga pernah dinobatkan sebagai pemain pertahanan terbaik K-League pada tahun 2016.

Difahamkan, kapten pasukan Sabah yang juga berasal dari Korea Selatan, Park Tae-su memainkan peranan besar dalam membawa masuk Ko Kwang-min bagi memperkuatkan benteng pertahanan sang badak.

Pengurus FC Seoul, Ahn Ik Soo turut mendedahkan pengurusan Sabah telah lama berhubung dengan kelab tersebut dan menyatakan secara rasmi untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Selain Ko Kwang-min, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu turut membawa masuk empat pemain import baharu masing-masing dari Brazil; Portugal dan Nigeria.

Antara yang diumumkan ialah bekas pemain Gremio Esportivo Brasil, Gabriel Peres; bekas pemain kelab Liga Jepun, Jailton Paraiba, bekas pemain kelab IBV di liga Iceland Telmo Castanheira dan bekas pemain import Kelantan yang berasal dari Nigeria, Jacob Njoku.

Mereka turut mengekalkan dua tonggak import pada musim lalu iaitu Park Tae-su dan Saddil Ramdani dari Indonesia.

Sabah menetapkan sasaran untuk membawa pulang Piala Malaysia atau sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini. – MalaysiaGazette