KAJANG – Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Berpusat Langat dijangkakan dapat mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan operator pembetungan apabila loji rawatan kumbahan yang kecil dan kurang efisien akan dinyahtauliah dan dirobohkan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, LRK itu juga akan mengurangkan potensi pencemaran sungai selain menjamin kelestarian sumber air.
Beliau berkata, ini kerana projek itu melibatkan penyahtauliahan 152 buah loji kumbahan kecil di kawasan tadahan pembetungan Langat
“Aliran kumbahan dari loji-loji yang ditutup ini disambungkan ke sistem rangkaian paip pembetungan baharu yang dibina sepanjang 108 kilometer melalui 12 unit stesen pam.
“Pelaburan besar kerajaan adalah bagi memastikan perancangan penyediaan infrastruktur pembetungan yang moden dan efisien secara berperingkat di seluruh negara.
“Ia bagi mengutamakan keperluan rakyat untuk akses kepada keperluan asas bagi menjalani kehidupan yang lebih produktif dan berlandaskan keadilan sosial.
“Ia sejajar dengan salah satu Teras Strategik Utama Malaysia Madani iaitu menjamin kesejahteraan insan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan LRK Berpusat Langat dan Taman Eko Langat hari ini.
LRK Langat yang terletak di Kampung Sungai Balak, Kajang turut dilengkapi dengan fasiliti sukan dan rekreasi yang dikenali sebagai Taman Eko Langat dan dibina di atas loji kumbahan tersebut.
Dengan mengadaptasi konsep return to community, infrastruktur yang diinspirasikan di atas pengalaman dan kejayaan Jepun itu turut memaksimakan inisiatif teknologi hijau seperti penualan air hujan, penggunaan semula efluen, penggunaan biogas dan tenaga solar.
Ia turut dilengkapi dengan kemudahan riadah, sukan dan pusat komuniti untuk dinikmati bersama oleh komuniti setempat termasuk 16 gelanggang badminton, masing-masing dua gelanggang sepak takraw, gelanggang bola keranjang, gelanggang futsal, kawasan permainan kanak kanak dan dewan komuniti.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi memberitahu, LRK Berpusat dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan kos berjumlah RM1.595 billion dan mampu merawat aliran kumbahan sebanyak 207,000 meter bersepadu sehari atau 920,000 penduduk setara (PE).
Kata beliau, ia merangkumi kawasan tadahan seluas 77.6 km meliputi kawasan Cheras Batu 11, Cheras Jaya, Desa Baiduri serta Kajang 1 & 3.
“LRK ini bertujuan meningkatkan liputan perkhidmatan pembetungan yang berkualiti serta membantu memulihara kualiti air Sungai Langat melalui pelepasan efluen terawat yang mematuhi Akta Kualiti Sekeliling 1974, Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kumbahan) 2009 sebelum dilepaskan ke Sungai Langat.
“Projek ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), dengan MMC Pembetungan Langat Sdn Bhd (MMC PLSB) sebagai kontraktor reka dan bina utama serta Gabungan AJP-MFA sebagai Perunding Pengurusan Projek yang dipertanggungjawabkan bagi menyempurnakan projek infrastruktur nasional ini,” katanya. – MalaysiaGazette