Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Institut pengajian tinggi (IPT) diminta memberi kerjasama dan menyokong kebebasan pelajar untuk melakukan kegiatan politik tanpa sekatan dan halangan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menjadi dasar kementerian untuk tidak menghalang aktiviti politik dalam kalangan pelajar.

Beliau menegaskan, pemansuhan Seksyen 15(2)(c) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Seksyen 10(2)(c) Akta Institusi-institusi Pelajaran membenarkan pelajar IPT awam melibatkan diri dalam politik kepartian.

Pelajar boleh melakukan kegiatan itu di dalam dan luar kampus termasuk bertanding sebagai calon pilihan raya.

Katanya, bagi meningkatkan liberasi politik, pelbagai program pendidikan pengundi telah dilaksanakan kepada mahasiswa dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya (APR) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

“Matlamat pelaksanaan program-program ini adalah untuk meningkatkan literasi mahasiswa terhadap pelaksanaan Undi 18 serta melahirkan mahasiswa yang prihatin dalam sistem pemerintahan negara,” kata Mohamed Khaled dalam sesi penggulungan Titah Diraja untuk KPT.

Katanya, seramai 252,188 orang mahasiswa IPTA telah mengikuti pelbagai bentuk program pendidikan pengundi melalui 200 program yang telah dijalankan.

Sementara itu, KPT bersetuju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi aliran pendidikan tinggi yang mengutamakan teknologi terkemuka dunia dan mampu mempersiapkan pelajar dengan tuntutan industri.

Program TVET dalam sektor pendidikan tinggi katanya, sedang diselaraskan agar lebih menekankan apa yang dipanggil sebagai High Tech, High Art dan High Touch.

“Ketiga-tiga aspek ini adalah suatu cakupan yang berasaskan kepada perkembangan semasa teknologi dengan menggabungkan kedinamikan pelbagai disiplin ilmu.

“Di pihak kementerian, perkara ini memang sedang kita usahakan. Untuk makluman  data menunjukkan 93.7 peratus lepasan politeknik dalam tahun 2021 berjaya menyertai alam pekerjaan,” katanya.

Menurut beliau, caj atau yuran yang dikenakan bagi program politeknik selaku penyedia utama program TVET hanya RM200 satu semester berbanding kira-kira RM1,850 bagi sijil dan RM2,100 bagi diploma dan ijazah sarjana muda.

Kerajaan sudah memberi subsidi sehingga 90 peratus bagi TVET di politeknik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast