Pihak bomba sedang memadamkan api pada kereta Perodua Axia yang terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Empat sekeluarga nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar susulan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 3 Jambatan Pulau Pinang menghala ke George Town awal pagi tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu susulan tindakan pantas orang awam menyelamatkan kesemua mangsa sebelum kehadiran pihak bomba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.08 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Syamzul Razman Abd Rahman.

“Sebaik tiba di tempat kejadian pihak bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia.

“Kereta tersebut musnah 100 peratus namun empat individu yang berada dalam kenderaan itu berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Kebakaran itu dipercayai berlaku susulan kereta tersebut terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah lagi kenderaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.20 pagi.

Difahamkan, mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette