Che Ta hilang telefon bimbit di Kota London.

KUALA LUMPUR – Pelakon Rozita Che Wan berdepan nasib malang apabila telefon bimbitnya ‘dirembat’ penyeluk saku ketika membeli-belah di sebuah gedung pakaian di kota London minggu lalu.

Rozita yang mesra dipanggil Che Ta berkata, walaupun dia sentiasa berhati-hati di tempat awam namun insiden itu tetap menimpa dirinya.

Ibu kepada tiga anak itu menganggap apa yang berlaku sebagai dugaan kerana kehilangan gajet yang menyimpan segala perkara berkaitan urusan harian.

“Telefon bimbit sudah umpama diari bergerak. Saya simpan semua, termasuk jadual penggambaran, tarikh mesyuarat, perjanjian segala komitmen dan sebagainya.

Sebelum ke Eropah, ramai berpesan agar berhati-hati dengan geng penyeluk saku sebab ramai sudah terkena.

Che Ta menjadi mangsa penyeluk saku di London.

“Tetapi itulah, dalam berjaga-jaga tetap perkara tidak diingini berlaku. Selama 10 hari juga, saya hidup tanpa telefon di tangan,” katanya yang memaklumkan mengenai kehilangan telefon bimbitnya di Instagram miliknya.

Bercerita lanjut, pelakon berusia 50 tahun itu berkata, telefon bimbitnya diletakkan dalam poket jaket berzip dan kejadian terbabit berlaku dalam sekelip mata.

“Silap saya juga sebab tidak terus simpan telefon dalam beg. Tahu-tahu, sudah hilang. Puas mencari di segala pelosok tempat sebelum membuat laporan kepada pihak sekuriti.

“Mereka juga tidak dapat kesan, namun memaklumkan setiap hari berdepan aduan kecurian memandangkan butik itu banyak menerima kehadiran pengunjung, terutama dari luar negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast