Adam Radlan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sekali lagi berhubung rasuah Projek Jana Wibawa.

Ia dijangka didakwa pada Isnin depan.

Difahamkan kali ini, ahli perniagaan yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat tempatan itu akan menghadapi pertuduhan kelima, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum itu, difahamkan Adam Radlan dijadualkan didakwa di mahkamah hari ini namun ditangguhkan ke minggu depan.

Sebelum itu, beliau sudah didakwa atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan projek yang sama di mahkamah pada Selasa dan Rabu lalu.

Pada Selasa lalu, Adam Radlan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM500,000 berkait Jana Wibawa untuk projek jalan raya bernilai RM47.8 juta di Perlis.

Dia didakwa meminta komisen projek antara 3.5 peratus hingga 7 peratus daripada projek bernilai RM48.7 juta di Perlis.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 November lalu di Cawangan CIMB Bukit Tunku.

Adam Radlan bagaimanapun dibenarkan jamin sebanyak RM120,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula ditetapkan pada 23 Mac ini.

Pada Rabu, dia sekali lagi dihadapkan ke mahkamah yang sama dalam projak Jana Wibawa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkait insiatif membantu kontraktor Bumiputra ketika pandemik Covid-19.

Namun dia mengaku tidak bersalah dan mohon kes dibicarakan. – MalaysiaGazette