MOF Tengku Zafrul BKM Bantuan Keluarga Malaysia cash aid
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengkaji struktur cukai sektor automotif bagi menurunkan harga kereta.

Menteri Perdangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cukai sedia ada menggalakkan pembangunan industri automotif tempatan.

“Pada ketika ini kita terpaksa mengakui tidak mempunyai perancangan untuk mengkaji semula sturktur cukai untuk sektor automotif kerana sektor cukai sedia ada dan duti eksais memainkan peranan dalam menggalakkan aktiviti nilai tambah terutama melalui aktiviti pemasangan tempatan dan pembangunan vendor.

“Ini mengalakkan vendor tempatan mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia.

“Insentif ditawarkan melalui pengurangan cukai berdasarkan tahap aktiviti nilai tambah ditawarkan lebih tinggi pengurangan cukai diberikan dan seterusnya membantu syarikat pengeluar kenderaan ungtuk mengurangkan harga kenderaan terutama membuat CKD di Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong di Dewan Rakyat yang bertanya sama ada kerajaan merancang mengurangkan cukai bagi menurunkan harga kereta.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, harga kenderaan tidak dikawal oleh kerajaan tetapi dipengaruhi oleh daya pasaran.

Harga kenderaan dipengaruhi oleh kos-kos yang terlibat dalam mengeluarkan sesebuah kenderaan seperti kos komponen yang digunakan, kos pengangkutan dan logistik, kos insuran, kadar faedah pinjaman, kos teknologi baharu dan kos-kos lain.

Sebahagian kos-kos ini juga adalah dipengaruhi oleh kadar tukaran wang asing.

Penentuan harga oleh syarikat-syarikat pengeluar kenderaan (OEM) turut mengambil kira keanjalan permintaan (demand elasticity) terhadap sesebuah kenderaan tersebut.

“Kebiasaannya, kereta kategori mewah mempunyai keanjalan permintaan yang lebih rendah berbanding bukan mewah.

“Selain itu, elemen teknologi terkini yang diterapkan dalam sesebuah kenderaan bagi meningkatkan daya keselamatan untuk pemandu dan pengguna jalan raya juga mempengaruhi harga kenderaan dan harga kenderaan tersebut tidak boleh dibandingkan dengan model-model terdahulu,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal dilontarkan oleh Ahli Parlimen Padang Regas (PN), Azahari Hasan yang menyatakan apakah langkah kerajaan untuk mengurangkan harga kenderaan.

Tengku Zafrul berkata, setiap kenderaan tertakluk kepada duti import, duti eksais dan cukai jualan bergantung kepada spesifikasi kenderaan tersebut.

Duti dan cukai yang dikenakan juga akan menjadi sebahagian dari kos kenderaan tersebut sebelum syarikat menentukan harga di pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast