Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menunjukkan borang pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO ketika di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan akan mempertahankan kerusi itu pada Pemiihan UMNO 2023.

Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, atas faktor untuk mengembalikan semula semangat perjuangan parti keramat itu, beliau membawakan Gagasan Kebersamaan Demi Perjuangan untuk didokong bersama ahli-ahli UMNO segenap peringkat.

Tegas beliau, UMNO perlu kembali dinamik dan progresif untuk menyemarakkan semula sokongan rakyat khususnya daripada golongan muda walau apa sekali pun.

“Perpecahan dalam kalangan pemimpin parti perlu diredakan dan dikurangkan, baik waktu pemilihan atau selepas pemilihan.

“Lebih penting lagi, sokongan dari kalangan ahli-ahli UMNO sendiri terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti juga perlu dikembalikan dengan penuh keyakinan atas sifat ‘Satu Hati’.

“Lebih-lebih lagi, kita akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri di enam negeri dan PRU16 kelak.

“Meskipun ia akan berlaku lama lagi, tetapi parti perlu bersedia dari sekarang dengan melakukan anjakan paradigma yang tuntas,” katanya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media mengenai pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO ketika di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 FEBRUARI 2023.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan untuk bertanding di sebuah hotel di sini hari ini.

Ini kali kedua bekas Menteri Besar Kedah itu bertanding pada kerusi sama pada pemilihan sebelum ini.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan akan mempertahankan jawatan sama pada Pemilihan UMNO 2023 itu manakala seorang lagi penyandang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, beliau mengambil pendirian untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti untuk parti ini dan menawarkan diri bersama-sama saf kepimpinan tertinggi Presiden dan Timbalan Presiden berbekalkan pengalaman luasnya dalam politik dan pentadbiran di peringkat Negeri dan Persekutuan.

Jelas beliau, ini memandangkan UMNO berada dalam keadaan sukar pada ketika ini.

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu berpandangan, UMNO memerlukan Kesatuan Fikiran atau Wahdatul Fikr di mana  harus menjadi teras utama kepada usaha kita membina semula UMNO.

“Gerak kerja kita harus didasari kesatuan matlamat, kesatuan ideologi dan kesatuan niat dan UMNO saya ambil pegangan dengan perasaan ‘Haqqul Yaqin’ bahawa parti ini perlu terus menjadi parti naungan dan tunjang bagi orang-orang Melayu.

“UMNO perlu menjuarai kembali politik Islam dengan mengambil kira pengaruh Perikatan Nasional terutama sekali Pas.

“Atas keyakinan itu, beban harus dipikul, tanggungjawab perlu digalas, UMNO didokong tidak rela dibiar rebah menyembah.

“Insya-Allah, atas nama kebangkitan, yang lemah kita perkuatkan, yang silap kita perbetulkan,” katanya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media mengenai pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO ketika di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 FEBRUARI 2023.

Mahdzir menambah, dengan setiap sokongan dan dokongan yang diberi, perjuangan untuk UMNO dan ahli-ahlinya, tiada noktah pengakhiran bagi dirinya untuk terus berbakti atas semangat Gagasan Kebersamaan Demi Perjuangan

“Saya akan lakukan yang terbaik untuk bangsa Melayu dan UMNO.

“Berbekal pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran di peringkat Negeri dan Persekutuan serta kepercayaan yang diberi, saya berazam dan beriltizam untuk mencari jalan, berusaha dan berikhtiar untuk mencorakkan kembali dinamika UMNO.

“Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada perwakilan yang mengundi saya sebagai Naib Presiden pada sesi pemilihan UMNO pada 2018 lalu,” katanya. – MalaysiaGazette