Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan beliau tidak menyertai mana-mana pasukan apabila mempertahankan jawatannya itu pada Pemilihan UMNO 2023.

Mahdzir juga menafikan menyertai kem Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menentang arus daripada Presiden, dan Timbalan Presiden UMNO.

“Saya seorang sahaja bertanding (tiada pasukan) dan Datuk Seri Hishammuddin sedang digantung dalam parti. Saya berpihak kepada Presiden dan Timbalan Presiden parti, keutamaan saya adalah parti.

“Saya datang kerana parti, saya jadi Menteri Besar dan Menteri pun kerana parti. Nombor satu adalah parti, perlu hormat parti, itu pendirian saya, dan ia jelas,” katanya mengulas pertanyaan wartawan mengenai dakwaan kem dalam parti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Padang Terap berkata demikian pada sidang media mengumumkan diri sebagai calon Naib Presiden di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Sebelum itu, bekas Menteri Pembanguan Luar Bandar itu menghantar borang pencalonan untuk bertanding bagi jawatan itu di Menara Dato’ Onn.

Ini kali kedua bekas Menteri Besar Kedah itu bertanding kerusi sama pada pemilihan sebelum ini.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan akan mempertahankan jawatan sama pada Pemilihan UMNO 2023 itu manakala seorang lagi penyandang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada Pemilihan UMNO 2023.

Ketika ini, spekulasi pemimpin parti itu yang dikatakan mengintai peluang untuk menjadi calon Naib Presiden UMNO ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac depan dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan berlangsung pada 1 hingga 26 Februari ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – MalaysiaGazette