Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir pada Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 berjaya memberi fokus utama untuk Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meningkatkan taraf pendidikan dan memelihara kebajikan guru serta murid-murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, pihaknya menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, beberapa intipati digariskan dalam belanjawan kali ini bagi merealisasikan objektif seperti dihasratkan.

“Pertama, peruntukan RM2.3 bilion untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif di seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas selaras teras keenam KPM.

“Peruntukan RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).

“Membina tujuh sekolah baharu dengan kos RM560 juta (SK Paya Dusun, Terengganu; SMK Denai Alam, Selangor; SMK Nabalu, Sabah dan SMK Dudong, Sarawak,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan komited menjaga pendidikan negara apabila memberi RM55.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan iaitu peruntukan tertinggi.

Ia lebih tinggi diperoleh kementerian tersebut berbanding tahun lalu iaitu pada 52.6 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah buat setiap golongan pelajar.

Anwar turut mengumumkan, setiap sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas juga akan dilengkapkan dengan kemudahan yang mesra orang kelainan upaya  dan kerajaan turut akan membina dewan terbuka demi keselesaan untuk berhimpun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast