Anak kepada pasangan panda gergasi, Xing King dan Liang Liang ketika dipamerkan pada Majlis Penampilan Anak Gergasi Panda di Zoo Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Beruang panda yang dilahirkan di Malaysia iaitu Yi Yi akan dipulangkan ke China dalam masa terdekat.

Yi Yi pada masa ini “terkandas” di Zoo Negara susulan daripada pandemik Covid-19 yang menyebabkan perjalanan dan penerbangan dihadkan.

Bagaimanapun, disebabkan keadaan yang semakin pulih, Yi Yi dijangka dipulangkan ke habitat panda di Sichuan pada akhir bulan Februari atau awal Mac.

“Keadaan spesifik adalah bergantung kepada keadaan pandemik dan juga kelulusan daripada pihak China,” kata satu kenyataan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca kepada China Press.

Yi Yi yang namanya membawa maksud persahabatan merupakan anak kepada pasangan Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan China kepada Malaysia.

Yi Yi yang lahir pada 14 Januari 2018, sepatutnya dipulangkan ke China selepas genap dua tahun, tetapi perjalanan itu tertunda sehingga kini.

Xing Xing dan Liang Liang pula  dipinjamkan kepada Malaysia pada 2014 dan mereka akan berada di Malaysia sehingga 20 Mei 2024.

Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca, kerajaan Malaysia dan pihak China dijadualkan menilai semula “tempoh penginapan” Xing Xing dan Liang Liang pada 2023.

“Selepas dinilai kedua-dua pihak, maka perbincangan akan dijalankan untuk memanjangkan tempoh pinjaman dan mengubah kandungan perjanjian.

“Tarikh untuk melakukan penilaian ini masih diaturkan oleh pihak Malaysia dan China.”

Daripada menandatangani perjanjian pinjaman panda yang baharu sempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, kerajaan dilaporkan cenderung memanjangkan tempoh pinjaman sedia ada untuk mengurangkan implikasi kewangan kepada negara. – MalaysiaGazette