KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat untuk mencontohi model Penang Skills Development Centre (PSDC) bagi pemerkasaan kerjasama awam dan swasta dalam pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata model itu dilihat mampu mengatasi situasi negara yang terperangkap dengan situasi guna tenaga tidak penuh apabila pekerjaan tidak dibayar gaji yang setimpal dengan kelayakan.
“Data menunjukkan 90 peratus graduan TVET memperoleh pekerjaan tetapi 90 peratus mereka meraih gaji rendah hanya sekitar RM2,000 sebulan walhal kerajaan berbelanja hingga RM6.7 bilion untuk TVET.
“Ini tidak boleh diterima dan pembaharuan perlu dilaksanakan agar 90 peratus graduan TVET menerima gaji lebih RM2,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata model itu adalah suatu kebijakan yang harus dicontohi apabila kerjasama kerajaan Pulau Pinang dengan pemain industri elektrikal dan elektronik berjaya menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET dengan gaji bermaruah.
“Kerajaan berhasrat untuk mencontohi model ini secara rintis melibatkan institusi TVET Persekutuan dengan sasaran 50 syarikat terutama dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata Anwar.
Beliau berkata syarikat peneraju terlibat akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi TVET seperti kolej komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan syarikat.
“Misalnya, Petronas menerajui kluster minyak dan gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit dan Miri. DRB Hicom bagi kluster automatif di Pekan, Sunway bagi kluster perhotelan dan MRCB bagi kluster pembinaan,” katanya.
Beliau berkata pembaharuan itu berupaya menggunakan sumber kerajaan dengan lebih efektif bagi penghasilan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri dan kerjasama awam-swasta melalui pendekatan baharu sebegini akan terus diteroka untuk bidang atau perkhidmatan kerajaan yang lain.
Menurut Anwar bagi mengeratkan kerjasama industri berkaitan TVET, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) turut diperkukuh dengan peruntukan RM50 juta untuk memanfaat lebih 8,000 pelatih.
“Program Academy in Factory akan dilaksanakan untuk menyediakan peluang kepada lebih 50,000 pelatih menjalankan latihan sambil bekerja di kilang,” katanya.- BERNAMA