KUALA LUMPUR – Kerajaan terus komited untuk mengurangkan hutang dengan mengunjurkan defisit fiskal berada pada paras lima peratus bagi 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, unjuran itu adalah lebih baik berbanding unjuran rasmi 5.5 peratus yang diumumkan pada Oktober tahun lepas.
Katanya, kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerajaan menyasarkan untuk mencapai defisit fiskal 3.2 peratus menjelang 2025.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, cukai keuntungan modal akan mula dilaksanakan mulai tahun depan membabitkan pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat.
Ujarnya, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkaitan untuk meneliti perincian pelaksanaannya untuk 2024.
“Selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai 2024.
“Ini juga menyentuh kepentingan golongan kaya dalam kategori saham yang tidak disenaraikan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini. – MalaysiaGazette