Penduduk, Hasnah Chik bersama cucunya mengikuti pembentangan Belanjawan 2023 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kg Cemperai, Dengkil, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM725 juta tahun ini bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan mempercepat pelaksanaan projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai usaha nasional menyediakan kemudahan jaringan Internet.

“Semua rakyat berhak mendapatkan kemudahan Internet yang stabil kerana sudah menjadi keperluan asas dalam menjalani kehidupan seharian,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Anwar berkata Kerajaan Perpaduan kini mengambil pendekatan supaya Digital Nasional Berhad (DNB) diuruskan dengan lebih telus dan terangkum supaya mencapai penyertaan penuh oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Pentadbiran lalu telah menerajui initiatif 5G melalui DNB. Pada akhir 2022, DNB telah mencapai 50 peratus liputan kawasan berpenduduk dan disasarkan akan mencapai 80 peratus liputan menjelang penghujung 2023.

“Akhirnya, apa yang mustahak adalah untuk mencapai liputan 5G yang menyeluruh dan pada harga yang berpatutan untuk rakyat,” kata beliau.- BERNAMA