Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Belanjawan 2023 mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah kesesakan kemudahan kesihatan kerajaan antaranya dengan menyumber luar pesakit daripada hospital terbabit ke hospital lain seperti hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

Katanya, skim itu membolehkan golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta.

Katanya, langkah itu pernah dilaksanakan kerajaan Selangor sebelum ini.

Bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka, kerajaan akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir RM700 juta.

Kerajaan juga, menurut beliau, akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan; dan Hospital Pontian, Johor yang berusia hampir seabad.

Selain itu hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersama amaun perbelanjaan kebajikan.

Para penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus, kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan, Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023 iaitu RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion tahun lalu.

Katanya, komponen utama peruntukan itu melibatkan keperluan perolehan ubat-ubatan, reagent, vaksin dan bahan guna habis.

Ia turut meliputi peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Anwar turut mengumumkan, mulai tahun 2023, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan akan dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000.

Sebagai tambahan, skop pelepasan itu juga diluaskan meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti Autisme, Down Syndrome dan Specific Learning Disabilitis terhad kepada RM4,000. – MalaysiaGazette