Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madini pada petang ini ada berita baik untuk kemakmuran dan kemajuan di negeri ini dan negara secara keseluruhannya.

“Saya yakin dan percaya selepas perbincangan yang dibuat kerajaan negeri Johor  dan kerajaan persekutuan pada petang ini akan ada berita yang baik untuk negeri Johor .

“Sudah pasti pembentangan itu nanti bukan sahaja baik untuk Johor sahaja, ini kerana limpahan ekonominya akan ke seluruh negara.

“Jadi saya melihat ke hadapan bajet ini. Kita kena tunggu, katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan kerajaan Johor sempena pembentangan Belanjawan 2023 yang akan diumumkan petang ini.

Belanjawan 2023 petang ini merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Johor pernah menyuarakan hasrat untuk menyertakan beberapa projek dalam Belanjawan 2023, termasuk pelebaran jalan lebuhraya dari Yong Peng hingga Skudai, pembinaan hospital awam baharu serta penyambungan semula projek keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura.

Belanjawan 2023 bakal dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen, pukul 4 petang ini.-MalaysiaGazette