KUALA LUMPUR – Peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada kerajaan negeri akan ditingkatkan kepada RM150 juta setahun berbanding RM70 juta tahun lalu.
Agihan EFT kepada negeri-negeri akan mengambil kira pewartaan kawasan perlindungan baharu termasuk habitat harimau dan mempergiat penanaman semula pokok di kawasan terosot.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha ini merupakan tekad kerajaan mempertahankan khazanah semula jadi negara, ke arah memastikan masa depan yang lebih untuk semua.
Ini termasuklah memelihara biodiversiti dan pengurusan hutan yang pada masa sama mengurangkan kebergantungan kerajaan negeri kepada hasil balak.
Pada masa sama, sejumlah RM38 juta turut disediakan bagi memelihara hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutannya.
Kerajaan akan menambah bilangan renjer yang mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang dengan mengutamakan khidmat komuniti orang asli dan veteran tentera dan polis melibatkan peruntukan RM50 juta.
Kerajaan akan terus menggalakkan amalan hijau dan Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana pinjaman sehingga RM2 bilion bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon.
Khazanah pula menyediakan RM150 juta bagi merancakkan pembangunan projek mesra alam termasuk mendukung pasaran karbon dan penghutanan semula.
Selain itu, pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) ditambahbaik dengan nilai jaminan dinaikkan kepada RM3 bilion sehingga 2025. – MalaysiaGazette