Pengamal media yang menyaksikan Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Agensi-agensi kerajaan akan terus menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan itu disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, antaranya RM300 juta dikhaskan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia.

“BSN (Bank Simpanan Nasional) menyediakan lebih RM1 bilion dengan tumpuan kepada PKS mikro dan penjaja serta TEKUN juga menyediakan RM330 juta termasuk RM10 juta untuk membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan.

“Mereka diberi modal memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal dan kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan ehailing,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menambah, bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS), hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh BNM antaranya untuk meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.

“Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan Kerajaan sehingga 90 peratus.

“Jaminan juga diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil,” katanya. – MalaysiaGazette