KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) gembira dengan peruntukan RM100 juta bagi Program Jualan Rahmah yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia membolehkan KPDN melaksanakan program itu di kesemua 222 kawasan Parlimen bagi memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
Jelas beliau, melalui program itu juga, rakyat akan dapat menikmati harga barangan asas sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
“Bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup, program menstabilkan kos sara hidup rakyat telah diberikan tumpuan melalui Konsep Payung Rahmah di antaranya Kempen Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Jualan Rahmah.
“Justeru, Belanjawan 2023 memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia terus diberi keutamaan, manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan.
“KPDN komited untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup negara selain peneraju kepada pembangunan sektor perdagangan dan pengedaran serta kebajikan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Salahuddin menambah, Kerajaan Perpaduan turut prihatin terhadap nasib penduduk di luar bandar menerusi peruntukan sebanyak RM225 juta yang diluluskan untuk KPDN meneruskan Program Pengedaran Barangan Perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming.
Jelas beliau, KPDN akan melaksanakan pengedaran barangan keperluan asas kepada penduduk di 822 kawasan pendalaman di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah.
“Ini termasuklah 25 kawasan pengedaran baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.
“Program ini akan memberi manfaat kepada 1.28 juta penduduk luar bandar di enam negeri tersebut di mana mereka dapat membeli tujuh barangan keperluan iaitu tepung gandum kegunaan am, gula putih bertapis kasar, beras putih dan minyak masak sawit tulen peket satu kilogram, botol satu liter, LPG serta petrol RON95 dan diesel pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
“KPDN komited untuk memastikan subsidi yang diperuntukkan ini akan dinikmati oleh golongan yang layak serta melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan subsidi tersebut,” katanya.
Salahuddin memberitahu, KPDN juga menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit yang dapat melindungi hak-hak pengguna dan perniagaan.
“KPDN akan terus memastikan peruntukan yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2023 ini digunakan mengikut perancangan agar impak dan manfaat yang baik dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette