Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntuk RM250 juta bagi mempromosi sektor pelancongan menerusi Belanjawan 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata jumlah itu selaras dengan Tahun Melawat Malaysia pada 2025 yang menyasarkan ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dan unjuran pendapatan sehingga RM76.8 bilion.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan beberapa projek berkaitan isu pelancongan dan kesesakan jalan raya yang telah menjejaskan lokasi tumpuan pelancong.

“Kerajaan akan membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands di Pahang dengan kos sebanyak RM480 juta. Menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak RM300 juta.

“Membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek RM160 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menambah baik kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang, Johor melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway.

“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara-Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa,” katanya.

Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntuk RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.  – BERNAMA