KUALA LUMPUR – Anak kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk.
Nurulhidayah akan mencabar penyandang jawatan itu Zarozatin Isa atau dikenali sebagai Cik Zatin.
Menurut Nurulhidayah, beliau telah menyatakan hasrat untuk bertanding dan telah mendapat kebenaran ayahnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk dan Presiden UMNO.
“Saya telah meminta greenlight (lampu hijau) pada mulanya dengan ketua bahagian kami dan beliau tiada halangan jika ia adalah pertandingan yang sihat.
“Abah saya pesan, jangan gaduh dengan sesiapa,” jelas beliau.
Menurut Nurulhidayah, beliau telah bertemu dengan Zarozatin bagi menyuarakan hasrat tersebut dan telah memohon maaf secara peribadi kerana menawarkan diri untuk bertanding.
“Saya sendiri memohon untuk berjumpa Cik Zatin kerana saya menghormati beliau sebagai orang lama dan tetap akan bekerjasama dengan beliau seandainya saya mendapat tempat di hati perwakilan Bagan Datuk nanti. Insya-Allah.
“Cik Zatin berbesar hati dan berkata kepada saya, ‘kita bertanding dengan sihat’.
“Alhamdulillah saya punya semangat baharu untuk meneruskan perjuangan bertanding sebagai calon Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, Nurulhidayah sedar laluan untuk memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk tidak akan mudah walaupun bapanya merupakan presiden parti dan ketua bahagian.
Justeru beliau akan bekerja dengan lebih keras untuk memastikan kemenangan dicapai.
“Bukan laluan mudah bagi saya walaupun saya adalah anak Presiden UMNO dan Ketua Bahagian UMNO Bagan Datuk.
Allah mahukan saya double up usaha dan keyakinan terhadap Dia. Hanya Dia.
“Hasbunallah wanikmal wakil nikmal maula wanikman nasir – Cukuplah Allah sebagai tempat diri bagi kami, sebaik-baiknya pelindung dan sebaik-baiknya penolong kami. Biiznillah,” katanya.- MalaysiaGazette