KUALA LUMPUR – MIDF Research berpendapat Belanjawan 2023 mempunyai matlamat memberi sokongan kepada rakyat dalam memelihara kesejahteraan berterusan terhadap segmen yang mudah terjejas dengan isu berkaitan kos sara hidup yang tinggi serta berupaya menjana pertumbuhan pendapatan.
Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, sebagai contoh, ia dapat dilihat melalui langkah-langkah berkaitan keterjaminan makanan, perkongsian awam-swasta dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak dua mata peratusan bagi mereka yang berpendapatan bercukai antara RM50,000 hingga RM100,000.
Menurut beliau, MIDF Research percaya bahawa usaha untuk meningkatkan pelaburan berimpak tinggi dan pelaburan langsung asing (FDI) melalui pelbagai insentif seperti penempatan semula bagi menarik pelabur sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang terjejas dan insentif untuk industri aeroangkasa adalah langkah yang baik.
“Langkah memfokuskan pada sains, teknologi dan inovasi boleh dilihat sebagai perlu untuk memastikan ekonomi Malaysia kekal berdaya saing.
“Sementara itu, langkah mengukuhkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara seperti mempromosikan amalan hijau dalam perniagaan termasuk menyediakan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menerima pakai amalan rendah karbon dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau adalah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Charon Wardini mengulas mengenai Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menambah, bagi pasaran modal, MIDF Research percaya bahawa pengenaan cukai keuntungan modal yang dicadangkan terhadap pelupusan saham tidak tersenarai mungkin menarik lebih banyak penyenaraian di bursa tempatan.
Selain itu, katanya, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mempermudahkan lagi pasaran sekunder bagi instrumen pasaran swasta untuk meningkatkan kecairan dan membolehkan penetapan harga yang lebih baik.
“Selain itu, penerbitan saham dwikelas akan dibenarkan untuk menggalakkan penyenaraian syarikat teknologi tempatan yang mencatatkan pertumbuhan tinggi.
“Pada pandangan kami, langkah-langkah ini mungkin bertindak sebagai pemangkin yang akan membantu merancakkan semula pasaran modal tempatan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Charon Wardini berkata, MIDF Research melihat terdapat peningkatan ketara dalam Perbelanjaan Pembangunan kasar kepada RM97 bilion daripada RM71.6 bilion pada 2022.
Beliau berkata, sebahagian besar Perbelanjaan Pembangunan diperuntukkan untuk sektor ekonomi pada RM55 bilion dengan subsektor pengangkutan menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM17.6 bilion.
“MIDF Research melihat pembangunan infrastruktur negara adalah perlu untuk menambah baik kesinambungan dan memacu aktiviti ekonomi,” katanya.
Secara keseluruhan, Charon Wardini menyifatkan Belanjawan 2023 bersifat inklusif dan berorientasikan masa depan yang mencerminkan nilai-nilai Malaysia Madani dalam usaha membina sebuah negara yang progresif dan makmur negara sambil menangani tekanan fiskal dan inflasi.
“Inisiatif seperti pengenalan model perkongsian awam-swasta untuk ruang TVET dan peruntukan RM250 juta untuk mempromosikan pelancongan berupaya membawa pulangan ekonomi yang positif dengan memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette