KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam begitu menghargai wanita dan institusi keluarga.
Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr. Masliha Harun berkata, antara yang memberi manfaat besar kepada golongan tersebut adalah pindaan akta melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pindaan tersebut bakal membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan agar menggalakkan wanita kembali bekerja.
Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran yang melibatkan dana keseluruhan RM290 juta setahun.
Subsidi yuran taska sebanyak RM180 sebulan kepada penjawat awam dan menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada RM5,000 kepada RM7,000 juga melegakan beban ibu bapa.
Ini kerana kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska terdiri dalam kalangan mereka yang bekerja.
Puteri UMNO turut menyambut baik hasrat kerajaan untuk meneruskan pembinaan 80 buah taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu.
“Ini kerana ramai pasangan ibu bapa yang baru memulakan kehidupan dapat menikmati faedah ini seperti yang kita tahu kos tadika kemas antara yang terendah.
“Dengan pembukaan 80 buah taska ini juga akan memberikan peluang pekerjaan yang baik dalam bidang ini disamping pendidikan awal kanak-kanak dapat diberikan dengan sebaiknya, katanya dalam kenyataan hari ini.
Masliha juga berkata, Belanjawan 2023 yang bertema ‘Membangun Malaysia MADANI’ itu selain memberi tumpuan kepada kumpulan B40 juga cakna terhadap golongan M40.
“Yang menarik minat saya adalah apabila fokus kerajaan kini perlu ditumpu kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, ini menunjukkan kerajaan benar-benar cakna dan prihatin kepada golongan yang sangat memerlukan.
“Tidak dinafikan kini golongan T20 menguasai 47 peratus pendapatan isi rumah dan miliki 80 peratus jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
“Tetapi sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula GST (pandangan kerajaan) namun kerajaan mengambil beberapa langkah yang penting untuk meningkatkan pendapatan negara,” katanya.
Menurut beliau, langkah yang diambil dalam Belanjawan 2023 amat tepat memandangkan Kerajaan mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus Keluran Dalam Negara Kasar. – MalaysiaGazette














