JASIN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggesa lebih banyak syarikat koperasi terlibat dalam sektor agromakanan seperti ternakan ayam dan ruminan bagi membantu menjamin bekalan makanan di negara ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat ini hanya 0.13 peratus atau 21 daripada keseluruhan 15,315 koperasi berdaftar terlibat dalam sektor bidang ternakan ayam dan angka itu masih terlalu kecil.
Menurutnya pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan untuk menggalakkan lebih banyak koperasi sedia ada ataupun baharu menceburi sektor agromakanan itu.
“Memang jumlah 21 daripada lebih 15,000 koperasi berdaftar itu sangat kecil sebab itu kita mahu lebih banyak koperasi ditubuhkan oleh keluarga atau komuniti kampung di setiap negeri libatkan diri dalam sektor agromakanan.
“Kita mahu koperasi-koperasi ini menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah terhadap kekurangan bekalan ayam dan telur yang sering menjadi isu dalam kalangan rakyat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Ternakan Ayam Kampung, Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad sempena Program Eskplorasi KUSKOP di Kampung Gubah, Asahan di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad, Faizal Ahmad Shaffi.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, dalam usaha menyokong penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan seperti ternakan ayam dan ruminan, KUSKOP melalui SKM telah menyediakan Pembiayaan Agromakanan sehingga RM3 juta.
“Malah kita juga menyediakan bantuan geran pembangunan sehingga RM300,000 kepada koperasi-koperasi bagi mengembang atau memperluaskan projek agromakanan serta aktiviti hilirannya,” katanya.
Setakat ini, beliau difahamkan sebanyak 20 koperasi sudah menunjukkan minat untuk terlibat dalam sektor berkenaan dengan membuat permohonan di bawah skim pembiayaan yang ditawarkan itu.
“KUSKOP tidak mahu meletakkan sasaran namun akan terus menggalakkan mereka rebut peluang yang ada dan saya difahamkan setakat ini sudah ada hampir 20 koperasi yang sudah berbincang dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk memohon pembiayaan ini.
“Mudah-mudahan tahun hadapan, jumlah 21 koperasi sedia ada itu akan menjadi lebih besar sekaligus menyelesaikan masalah bekalan daging ayam dalam negara kita,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 21 koperasi yang terlibat dalam aktiviti ternakan ayam sedia ada merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM57.46 juta setahun dengan kapasiti pengeluaran ayam berjumlah 5.2 juta ekor setahun berbanding keperluan domestik 2.5 juta ekor ayam sehari.
Kesemua 21 koperasi itu beroperasi di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. – MalaysiaGazette