Chinyere Igwe. dengan wang tunai yang ditemui dalam kenderaanya. foto Twitter

ABUJA – Seorang ahli politik Nigeria didakwa melakukan pengubahan wang haram selepas ditangkap dengan wang tunai AS$498,100 sehari sebelum pilihan raya umum.

Timbunan dolar Amerika Syarikat itu ditemui polis di dalam kereta Chinyere Igwe.

Igwe, seorang ahli PDP pembangkang di Dewan Perwakilan Rakyat, juga ditangkap dengan senarai nama individu yang menerima wang tersebut.

Dalam pilihan raya sebelum ini, ahli politik telah dituduh menipu pilihan raya melalui pembelian undi.

Nigeria baru-baru ini telah mengeluarkan wang kertas baharu, sebahagiannya bertujuan untuk menyukarkan ahli politik mengumpul sejumlah besar wang untuk merasuah pengundi.

Walau bagaimanapun, wang kertas baharu yang tidak mencukupi itu menimbulkan kemarahan dan kekecewaan rakyat.

Ia kerana, orang ramai telah beratur berjam-jam di luar bank untuk mendapatkan wang tunai, selalunya tidak berjaya.

Keadaan itu menyebabkan ada individu yang menyerang bank.

Kira-kira 40% rakyat Nigeria tidak mempunyai akaun bank dan bergantung pada wang tunai untuk membeli makanan, dan untuk kegunaan harian yang lain.

Dalam rangkaian Twitter, polis di Rivers State, tempat Igwe ditangkap, menggesa “semua calon dan parti politik untuk mematuhi dengan ketat peruntukan Akta Pilihan Raya dan undang-undang lain yang berkaitan”.

Igwe, yang mewakili sebahagian bandar selatan Port Harcout, masih belum mengulas mengenai perkara itu. – Agensi,