logo mahlamah

KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan petisyen pilihan raya calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang, sekali gus mengesahkan kemenangan Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Datuk Roslan Abu Bakar memerintahkan wakil calon BN, Azmi Mahmood sebagai pempetisyen membayar kos RM25,000.

Dalam penghakimannya, Roslan berkata, mahkamah menerima tiga isu dalam bantahan awal yang dikemukakan oleh Mohd Azizi selaku responden bagi petisyen itu.

Beliau berkata, tarikh petisyen difailkan adalah melebihi had masa ditetapkan iaitu 28 hari di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 selain lantikan peguam pempetisyen tidak mematuhi undang-undang mengikut akta sama.

“Isu ketiga, pempetisyen gagal memperinci tuduhan berkaitan sogokan termasuk tidak ada maklumat lengkap mengenai ejen pemberi rasuah menyebabkan petisyen itu menjadi cacat dan tidak sah,” katanya.

Pada prosiding itu, pempetisyen diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, Mohamed Baharuddin Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Hayyan manakala responden diwakili Wan Rohimi Wan Daud, Nik Bahrum Nik Abdulllah, Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu.

Tengku Razaleigh gagal mempertahan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 pada PRU15 apabila tewas kepada Mohd Azizi yang diumum menang dengan majoriti tipis 163 undi.

Mohd Azizi (Pas-Bersatu) memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh (BN-Umno) pula mendapat 21,663 undi.

Pada 3 Januari lepas,  Mohd Azmi memfailkan petisyen itu untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang manakala Mohd Azizi mengemukakan bantahan awal bagi membatalkannya. – Bernama