Nurul Hazwani Haslan

KUALA LUMPUR – Calon Ketua Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan  sayap pergerakan itu mengenal pasti wanita muda untuk diserap ke dalam institusi program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Katanya, ia selaras dengan Belanjawan 2023 yang menggariskan pelbagai inisiatif dan insentif dalam merealisasikan pembangunan ekonomi rakyat.

“Cabaran utama yang membelenggu penyertaan golongan wanita muda mengikuti TVET adalah mitos sosiobudaya bidang kerjaya industri ini yang didominasikan oleh lelaki.

“Hakikatnya kerajaan dan swasta perlu menitikberatkan sensitiviti jantina dalam pembangunan TVET dengan menyediakan infrastruktur pembelajaran sensitif jantina di institusi-institusi berkaitan.

“Pihak berpentingan perlu merekabentuk dan melaksanakan dasar tindakan afirmatif nasional untuk penyertaan wanita muda dalam bidang pekerjaan yang didominasikan oleh lelaki.

“Sudah menjadi keperluan untuk kita jalankan penyelidikan mengenai strategi khusus bagi menarik minat wanita muda menyertai TVET dengan menyalurkan sebahagian daripada perbelanjaan TVET khusus kepada golongan ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tambahnya lagi, pihak berkepentingan juga perlu menambah bilangan pengajar TVET profesional wanita muda untuk mengajar dalam disiplin kemahiran yang didominasi oleh golongan lelaki

Jelas Nurul Hazwani, pendedahan awal mampu meningkatkan pengetahuan praktikal dan menjadi aset berharga kepada kebolehpasaran wanita muda yang mengikuti TVET.

“Pendekatan transformasi jantina yang inovatif termasuk membangunkan kemahiran keusahawanan dan meningkatkan penyertaan wanita dalam dunia pekerjaan seharusnya dipupuk,”ujarnya.

Sebanyak 20.6 peratus atau 186,855 daripada jumlah keseluruhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan perniagaan pemilikan wanita di negara ini yang menyumbang kepada RM69.1 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membuka hampir 800,000 peluang pekerjaan.

“Sudah menjadi tanggungjawab Puteri UMNO untuk bertindak secara progresif menjadi ‘bridge’ penyaluran informasi serta peluang terbuka bagi meningkatkan kapasiti permintaan pasaran buruh, terutamanya terhadap pengambilan wanita muda berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Ini juga fokus utama Solusi 4S (Simetri, Struktur, Sinergi, Stabil) adalah memperkasakan ekonomi wanita muda agar lebih fleksibel, relevan serta efisyen dalam menghadapi landskap ekonomi dinamik menerusi inisiatif TVET. Pastinya dua elemen 4S mainkan peranan utama iaitu Sinergi dan Stabil,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast