Tengku Maimun Tuan Mat

Artikel ini ditulis oleh pembaca MalaysiaGazette

PADA 24 Februari 2023, Mahkamah Persekutuan melalui Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tengku Maimum Tuan Mat (Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun) di dalam kes Haris Fathillah bin Mohamed Ibrahim & Lain-lain v Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki telah memberikan penghakiman berkenaan “protokol” yang perlu dipatuhi oleh badan penguatkuasa undang-undang di negara ini yang ingin menyiasat mana-mana hakim
berkenaan aduan kesalahan jenayah (penghakiman tersebut).

Apabila meneliti penghakiman tersebut, ianya bukan sahaja membuka kepada seribu satu persoalan tetapi meletakkan duluan (precedent) yang berbahaya.

Penghakiman tersebut telah menyerang badan penguatkuasa undang-undang, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam cara mereka menangani siasatan yang dibuat terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Yang Arif Mohd Nazlan Mohd Ghazali (Hakim Nazlan) di mana SPRM dikatakan kononnya, tidak mengikut “protokol” yang sepatutnya dalam mengendalikan siasatan mereka terhadap Hakim Nazlan.

Pertama sekali dan sebagaimana yang diakui oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun sendiri, undang-undang negara ini termasuklah Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang proses dan prosedur berkenaan siasatan jenayah yang dibuat oleh mana-mana badan penguatkuasa undang-undang di negara ini terhadap mana-mana hakim dari peringkat Mahkamah Tinggi sehinggalah ke Mahkamah Persekutuan.

Namun, di dalam penghakiman tersebut, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun telah menghakimkan bahawa suatu “set protokol” perlu dipatuhi oleh badan penguatkuasa undang-undang dalam siasatan mereka ke atas mana-mana hakim dan “protokol” ini hanya diberikan melalui penghakiman tersebut yang jelas TIDAK WUJUD sebelum ini apatah lagi semasa siasatan SPRM dibuat terhadap Hakim Nazlan.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun menyerang SPRM yang kononnya tidak mengikut “protokol” dalam siasatan yang dibuat oleh mereka terhadap Hakim Nazlan sedangkan, “protokol” ini hanya wujud pada 24 Februari 2023 sebagaimana yang telah dihakimkan di bawah penghakiman tersebut.

Dengan ketiadaan “protokol” ini, SPRM telah menjalankan siasatan mereka terhadap Hakim Nazlan semata-mata berlandaskan lunas undang-undang sedia ada iaitu di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM).

Malah, tiada satu peruntukkan pun di bawah Akta SPRM yang menyatakan bahawa SPRM perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan daripada Ketua Hakim Negara dahulu sebelum siasatan ke atas Hakim Nazlan boleh dibuat.

Dalam erti kata lain, sebagaimana bebasnya badan kehakiman negara ini, SPRM juga adalah suatu badan bebas dan mempunyai autonomi penuh untuk menyiasat mana-mana pihak tanpa rasa takut dan pilih kasih (without fear and favour) mengikut lunas undang-undang sedia ada dan di dalam kes Hakim Nazlan, mengikut peruntukkan-peruntukkan di bawah Akta SPRM.

Oleh itu, adalah amat tidak adil untuk Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun menyerang SPRM melalui penghakiman tersebut yang sudah semestinya akan menjadi kes duluan dan rujukan pihak-pihak lain.

Tindakan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun di sini juga adalah ironi apabila beliau menetapkan “protokol” untuk badan penguatkuasa undang-undang mendapatkan kebenaran dan kelulusan daripada Ketua Hakim Negara dahulu sebelum mereka boleh memulakan sebarang siasatan terhadap hakim.

Tetapi, pada masa yang sama, beliau tidak pula berunding dengan badan penguatkuasa undang-undang, khususnya SPRM berkenaan kewujudan “protokol” ini.

Lebih membimbangkan lagi adalah apabila Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun telah memperkenalkan “protokol” ini tanpa merujuk kepada mana-mana autoriti. Ianya seolah-olah “protokol” ini diwujudkan mengikut kehendak dan kemahuan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun sendiri (on her own whim and fancy).

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun seharusnya lebih arif bahawa negara ini mengamalkan pemisahan kuasa (separation of powers). Oleh itu, satu pihak tidak sama sekali lebih berkuasa daripada satu pihak yang lain kerana pentingnya untuk negara kita mempunyai semak dan imbang yang berkesan.

Oleh itu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun perlulah lebih berhati-hati dalam menulis sebarang penghakiman beliau lebih-lebih lagi apabila sebarang penghakiman daripada Mahkamah Persekutuan akan menjadi kes duluan kepada banyak lagi kes selepas ini.

Akhir kata, sedangkan seorang Yang di-Pertuan Agong sekalipun tidak kebal daripada undang-undang, apatah lagi seorang hakim. Badan penguatkuasa undang-undang di negara ini, khususnya SPRM hanya melaksanakan tugas hakiki mereka iaitu menyiasat sebarang aduan dan dakwaan salah laku rasuah.

Azwanizam Abdullah
Kuala Lumpur

Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Satu pihak tu terdapat pelbagai kaedah semak dan imbang. Hok satu lagi tu tak nampak lagi hak2 semak dan imbang? Lebih2 lagi bila dah wujud apa yang mereka katakan protokol? Hari kehari cerita ni jadi bertambah menarik untuk diikuti… Ini hanyalah pandangan rakyat biashe2 sahaja!

Comments are closed.