Mazliham Mohd. Su’ud menyampaikan wakaf Smart TV kepada SM Dang Anum (kiri sekali), SM Sains Muzaffar Syah (tengah) dan SM Sains Muar pada 1 dan 15 Februari 2023

CYBERJAYA – Universiti Multimedia (MMU), universiti yang mempelopori pendidikan teknologi maklumat dan multimedia kreatif, telah menyumbangkan kemudahan Smart TV kepada tiga buah sekolah bagi membantu menyediakan pengajaran interaktif dan menyeronokkan dalam kalangan pelajar.

Sumbangan bernilai RM15,675 itu disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, Presiden MMU kepada pusat-pusat sumber sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Syah dan Sekolah Menengah (SM) Sains Muar.

Mazliham memberitahu, sumbangan itu dijangka memberi impak dan manfaat yang besar dalam proses pengajaran dan pembelajaran oleh warga sekolah.

“Dengan tersedianya Smart TV di pusat sumber sekolah-sekolah ini, para pendidik dapat mengaplikasikan aktiviti pengajaran bersama para pelajar dengan cara yang lebih mudah dan lebih interaktif.

”Di samping itu para pelajar juga boleh menjalani proses pembelajaran dengan lebih selesa dan menyeronokkan,” tambahnya.

Sumbangan televisyen pintar berkenaan dilaksanakan melalui Projek Dana Wakaf Ilmu oleh Yayasan Universiti Multimedia (YUM) selepas MMU dilantik oleh Perbadanan Wakaf Selangor untuk mengutip dan menguruskan wakaf melalui Projek Dana Wakaf Ilmu.

Projek Dana Wakaf Ilmu itu telah berjaya mengumpulkan dana wakaf daripada warga kakitangan TM Berhad, MMU dan orang ramai.

Majlis penyerahan sumbangan wakaf ini diadakan di SMK Dang Anum dan SM Sains Muzaffar Syah, Melaka pada 1 Februari 2023 manakala di SM Sains Muar pada 15 Februari 2023.

Majlis penyerahan sumbangan wakaf Smart TV di dua buah sekolah di Melaka turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Nasaruddin Rahmat. – MalaysiaGazette