Norsyahriman Md. Arif

KUALA LUMPUR – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sewajarnya memberi ruang kepada Perdana Menteri Malaysia untuk melihat secara menyeluruh mengenai tuntutan yang dimukakannya, khusus berkaitan dengan kenaikan gaji dan kadar elaun penjawat awam.

Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama), Norsyahriman Md. Arif berkata, pihaknya terkilan dengan kenyataan Datuk Adnan Mat yang menzahirkan kekecewaan terhadap Belanjawan 2023.

Menurut beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim baharu sahaja tiga bulan diberi mandat sebagai Perdana Menteri Malaysia, pastinya banyak perkara penting yang perlu dilihat serentak dan diperhalusi dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

Secara logiknya, tambahnya, mana mungkin “bayi yang berusia tiga bulan, kita mengharapkan dia sudah boleh berjalan.”

Mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2023, Adnan berkata, CUEPACS kecewa apabila bajet tersebut dilihat tidak mampu menyelesaikan tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam.

Lebih mengecewakan CUEPACS apabila Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tidak menyatakan komitmen untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam yang dikemukakan oleh badan itu.

Dalam pada itu, Kepertama menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai sebagai “antibiotik” awal ke arah proses penyembuhan dan penyegaran prestasi
ekonomi negara.

”Kepertama menzahirkan penghargaan dan pengorbanan penjawat awam, pihak kerajaan yang telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak selain RM350.00 kepada para pesara kerajaan.

”Walaupun harapan Kepertama sudah pastilah tertumpu kepada pengumuman mengenai kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam, namun KEPERTAMA amat memahami situasi kerajaan yang kini sedang bergelut dengan jumlah hutang negara yang sudah mencecah angka RM1.1 trilion.

“Apapun Kepertama yakin dan percaya, pengalaman luas serta kewibawaan Perdana Mentera dalam menangani krisis ekonomi Negara akan membuahkan hasil yang menggembirakan seluruh rakyat Malaysia sedikit masa lagi Insya Allah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

CUEPACS kecewa Bajet 2023 tidak mampu selesaikan tekanan kos sara hidup penjawat awam