Pelawat asing beratur untuk membuat pemeriksaan dokumen di kaunter Jabatan Imigresen semasa Majlis Pelancaran Peluasan Kemudahan Autogate kepada Pelawat Asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang. Foto MUHD NA’IM, 27 FEBRUARI 2023.

SEPANG – Kerajaan akan meneroka teknologi baharu bagi meningkatkan perkhidmatan dalam rantaian blok untuk pengambilan buruh asing.

Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif itu akan dijalankan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) agar proses itu dapat disegerakan.

“Kami tidak pernah menutup pintu untuk teroka idea baru termasuk rantaian blok. Kita sentiasa terbuka untuk teknologi seperti itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, integrasi rantaian blok dalam sistem yang diguna pakai kementerian masih di peringkat awal.

Beliau berpandangan, keutamaan pada masa ini adalah agar kos yang lebih rendah untuk pengambilan buruh asing selain menjaga kebajikan mereka.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, negara akan bergantung kepada teknologi blockchain untuk memastikan ketelusan dalam pengambilan pekerja asing.

Sivakumar menjelaskan, sistem tersebut dapat mengelakkan sebarang unsur buruh paksa dan ia selaras dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, negara kini merancang untuk membangunkan portal bekalan dan permintaan bagi memudahkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber.

Katanya, portal itu akan memaparkan jumlah pekerja yang diperlukan dari segi permintaan dan penawaran khususnya sektor strategik seperti pembinaan dan pembuatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast