KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang bersetuju melupuskan hutang 58 orang peserta Rancangan Tanah Pinggir (RTP) di negeri ini yang berjumlah RM32,790.15.
Keputusan itu dibuat oleh Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai sebuah kerajaan negeri yang prihatin serta cakna terhadap nasib rakyat, keputusan ini diambil untuk kebaikan bersama.
“Langkah itu diambil kerana kebanyakan peserta yang masih mempunyai hutang tertunggak tidak dapat dikesan disebabkan ketiadaan alamat tempat tinggal yang lengkap serta berusia hampir satu abad dan ada yang meninggal dunia.
“Saya berharap dengan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri ini akan memberi kelegaan kepada peserta dan juga waris peserta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
RTP mula dibuka pada tahun 1961 hingga 1967 oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang berasaskan kepada konsep pembukaan tanah secara berkelompok di bawah Akta Tanah GSA (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dengan diusahakan tanaman pokok getah.
Terdapat sebanyak 131 buat RTP telah dibuka di seluruh Negeri Pahang kecuali di Cameron Highlands.
Setiap peserta yang terpilih pada ketika itu telah ditawarkan lot tanah seluas 2.83 hektar (6 ekar) dan dikenakan bayaran balik di antara RM3,000 hingga RM3,500 dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun. – MalaysiaGazette