Nga Kor Ming.-Foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak memberikan keutamaan terhadap Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketika ini, kata menterinya, Nga Kor Ming.

Sebaliknya, beliau menegaskan, Kerajaan Perpaduan melalui KPKT memberi tumpuan kepada tujuh bidang fokus utama yang antaranya adalah membangun dan memperkasakan peranan kerajaan tempatan.

Beliau berkata, fokus lain adalah membangunkan potensi PBT bagi menjana sumber pendapatan tambahan negara, perancangan perumahan yang lebih komprehensif dan berdaya saing serta pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum.

“Fokus seterusnya ialah pengurusan sisa pepejal bersepadu lebih efektif dan efisyen bagi menghasilkan pelaksanaan ke arah ekonomi kitaran, memperkukuhkan agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu serta memperkukuh kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamatan yang sejahtera.

“Bagi tahun 2023, KPKT akan pastikan khidmat asas PBT diutamakan seperti jalan raya rata, tandas awam bertaraf BMW (Bersih, Menawan, Wangi), lampu terang dan longkang bersih sebagai antara misi utama menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Justeru, pilihan raya PBT waktu ini bukan keutamaan pihak kementerian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab Soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada kerajaan akan mengembalikan Pilihan Raya PBT seperti yang didesak pihak tertentu.

Menurut Kor Ming lagi, KPKT juga sedang memberi tumpuan utama seperti membangun dan memperkasakan peranan kerajaan tempatan.

Iaa termasuk membangun potensi PBT bagi menjana sumber pendapatan negara dan perancangan perumahan yang lebih komprehensif serta berdaya saing. – MalaysiaGazette