Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan mahkamah selepas mendengar permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Prosiding semakan yang dipohon Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan keputusan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya dalam kes rasuah dana RM42 juta SRC International memasuki hari kelima di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Timbalan Pendakwaraya, Datuk V. Sithambaram dan peguam utama yang mengetuai pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka akan berbalas hujah masing-masing di hadapan lima panel hakim dipengerusikan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan tiba di pekarangan mahkamah dengan iringan para pegawai Penjara Kajang menaiki sebuah kereta X70 berwarna kelabu dengan kawalan keselamatan ketat sekitar pukul 8.35 pagi.

Salah seorang daripada hakim juga menegur Muhammad Shafee untuk hadir ke mahkamah lebih awal supaya prosiding dapat bermula tepat pukul 9 pagi.

Minggu lepas, pada akhir prosiding sebelum ditangguhkan, Mahkamah Persekutuan diberitahu bekas peguam Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik telah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan akhir SRC namun beliau tidak merebut peluang itu atas alasan tidak bersedia untuk membuat hujahan.

Sithambaram berhujah adalah tidak munasabah bagi peguam untuk hadir di mahkamah bagi mendapatkan penangguhan atas alasan beliau tidak bersedia.

“Pada dasarnya, tiada pelanggaran keadilan asasi atau ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah untuk diperbetulkan.

“Pasukan peguam Najib mempunyai empat bulan untuk menyediakan permohonan bukti tambahan atau lanjut dan rayuan utama. Dakwaan musibah yang dihadapi peguambela tidak boleh dipersalahkan kepada mahkamah kerana mahkamah telah memberi tempoh empat bulan kepada semua pihak untuk membuat persiapan,” katanya.

Hari ini, Sithambaram akan menyambung hujahnya yang berkaitan dengan status Facebook yang dimuat naik oleh suami kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang pernah dibangkitkan pasukan Najib dalam rayuan akhir sebelum ini.

Selain Abdul Rahman Sebli, panel hakim lain terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.

Prosiding bersambung ketika ini. – MalaysiaGazette