senjata
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Warga dari tiga buah negara negara termasuk Kumpulan Tujuh (G7) yang berkunjung ke Malaysia kini dibenarkan menggunakan sistem pagar automatik (autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga negara tersebut adalah Singapura, Brunei dan New Zealand.

Kemudahan yang sebelum ini hanya dikhaskan untuk rakyat Malaysia adalah bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.

“Mengenai kesesakan di pintu masuk, peristiwa berlaku semalam dan kerajaan khususnya Imigresen sangat prihatin mengenai masalah kelambatan di pintu masuk negara khususnya KLIA. Saya tak ada sindrom penafian dan tak akan bagi alasan.

“Kami akan memaklumkan beberapa langkah misalnya, petang ini saya akan maklumkan pembukaan semua autogate di KLIA untuk warga asing terutama negara berisiko rendah,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat – PN) yang ingin tahu sama ada kerajaan menyedari berlaku kesesakan di pintu masuk utama negara semata-mata untuk mengecop pasport.

Saifuddin menambah, langkah berkenaan diambil oleh Jabatan Imigresen bagi membenarkan kepada pengembara dari negara berisiko rendah.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai masih boleh memohon dan memperbaharui pasport antarabangsa secara terus atau walk-in.

Bagi permohonan secara walk-in, kerajaan komited untuk menyiapkan dokumen itu dalam tempoh satu hari.

“Sepanjang tempoh Covid-19 hingga hari ini, Jabatan Imigresen mengeluarkan 2.5 juta pasport dan 45 peratus daripada permohonan itu dilakukan secara dalam talian.

“Mengisi borang ikut syarat dengan gambar yang berkualiti… tak sampai lima minit cuma pasportnya itu akan mengambil masa beberapa hari untuk siap berbanding dilakukan secara walk-in di mana siap pada hari yang sama.

“Kita masih membenarkan permohonan secara walk-in dan kita juga komited walk in ini siap dalam tempoh satu hari,” tambahnya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung langkah penyelesaian proaktif dan progresif dalam mengatasi isu kesesakan serius bagi urusan pasport di Jabatan Imigresen selain cadangan untuk mengembalikan semula proses permohonan secara walk-in.- MalaysiaGazette