KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, surat tuntutan yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN) bertujuan menakut-nakutkan beliau dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Penerangan PN itu juga menuduh pemimpin-pemimpin BN menggunakan kedudukan mereka untuk menakut-nakutkan pembangkang dengan pendakwaan jenayah dan tindakan undang-undang.
Mohamed Azmin turut mempertahankan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN berkaitan pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di mahkamah.
“Sebenamya, kenyataan pemimpin Bersatu dan PN berkenaan perkara ini adalah fakta yang telah pun dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat oleh wakil Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada 15 Februari 2023 berkenaan konspirasi untuk melumpuhkan Bersatu dan PN melalui satu konspirasi fitnah dan tohmahan palsu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Surat tuntutan yang dikemukakan BN itu meminta Muhyiddin dan Mohamed Azmin menarik balik kenyataan mereka dan membuat permohonan secara terbuka serta dalam masa yang sama membayar pampasan ganti rugi kerana mengeluarkan fitnah berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Komunikasi BN semalam, tuduhan mengatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang dan perancang kepada pertuduhan ke atas Wan Saiful baru-baru ini merupakan fitnah besar yang perlu dihentikan.
Wan Saiful berdepan dua pertuduhan rasuah melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Mohamed Azmin turut mendakwa, tindakan yang dikenakan terhadap Bersatu dan PN adalah satu bentuk penindasan politik.
“Apabila surat tuntutan diterima nanti, peguam saya akan membalas dengan sewajarnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette
Dah buat fitnah, takut plak? Hadap jer laa saman tu…