Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berucap pada Majlis Malam Anugerah LPP 5 Dekad Sempena Ulang Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang Ke-50 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 27 FEBRUARI 2023.

SERDANG – Masalah kekurangan bekalan telur ayam yang diselesaikan hanya dalam tempoh dua bulan membuktikan kerajaan komited memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, usaha itu tidak akan berhasil jika kementeriannya tidak mengambil langkah tuntas membendungnya.

“Kita telah berjaya pulihkan semula bekalan telur dalam masa dua bulan sahaja di mana pada Januari yang lalu bekalan telur sudah mula melebihi keperluan dan sekarang kita lihat ia kembali stabil.

“Inilah yang kita mahu apabila berlaku sahaja gangguan kita terus selesai secepat mungkin. Contoh bila berlaku gangguan bekalan telur di sebelah utara dan pantai timur, agensi kita seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) terus buat intervensi dengan hantar bekalan kepada pengguna di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Malam Anugerah LPP 5 Dekad di sini semalam.

Menurut Foong Hin, perkara itu turut membuktikan kerajaan mengutamakan isu sekuriti makanan agar negara tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber import terutama apabila berlaku perubahan iklim.

Katanya, negara akan rugi jika terlalu berharap kepada sumber luar kerana kerajaan akan menanggung jumlah subsidi yang besar bagi mengurangkan impak kenaikan kos input untuk pengusaha tempatan.

“Contoh paling mudah bila harga jagung bijian dunia naik berlipat kali ganda dan itu meningkatkan kos input buat pengusaha dalam negara kita.

“Kita tak boleh biarkan ia berterusan sedangkan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand sudah kurang kebergantungan jagung bijian import sehingga mereka sendiri sudah boleh eksport makanan tersebut,” ujarnya.

Rentetan itu, beliau memberitahu, kerajaan akan memperkenalkan satu dasar komprehensif bagi menggalakkan anak muda terlibat dalam pertanian melalui latihan, sokongan dana dan penggunaan teknologi moden.

Beliau percaya usaha itu dapat meremajakan semula bidang pertanian untuk menjadi sektor penting negara dan memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang bergiat dalam industri berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. stabil ke? Kenapa masih susah nak beli telur & ada had 2 papan utk 1 keluarga sahaja kalau cukup & melebihi permintaan pasaran?

Comments are closed.