HONG KONG: Mulai esok, penduduk dan pelancong Hong Kong tidak perlu lagi memakai pelitup muka.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee dalam pengumumannya berkata, keperluan memakai pelitup muka ketika di dalam dan luar premis telah ditarik balik.
Ia sebagai langkah untuk menarik balik pengunjung dan perniagaan serta memulihkan kehidupan normal selepas lebih tiga tahun melaksanakan peraturan ketat di hab kewangan itu.
Wilayah pentadbiran khas Hong Kong adalah salah satu tempat terakhir di seluruh dunia yang masih mengenakan peraturan pemakaian pelitup muka.
Hong Kong dan Macau kedua-duanya mengikuti dasar sifar-Covid China selama hampir tiga tahun yang lalu.
Hong Kong mula membatalkan peraturan ketat Covid-19 tahun lalu tetapi pemakaian topeng kekal berterusan sejak 2020.
“Kami berpendapat ini adalah masa terbaik untuk membuat keputusan ini.
”Ini adalah mesej yang jelas untuk menunjukkan Hong Kong kembali normal,” kata Lee. – Agensi