kerajaan 1MDB
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan seharusnya menggugurkan semua saki-baki kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berpandangan, tindakan itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan sekarang memandangkan telah terbukti bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu memang menyelesaikan masalah secara senyap-senyap untuk mendapatkan semula wang 1MDB yang hilang.

Menurut beliau, pada masa yang sama, Najib berusaha mengekalkan hubungan yang baik dengan Abu Dhabi.

“Kezaliman yang besar telah dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas terhadap Najib dengan membohongi seluruh rakyat Malaysia selama bertahun-tahun lamanya.

“Mungkin namanya akan terkesan sampai bila-bila atas tuduhan rekayasa palsu yang dikenakan demi nafsu serakah politik,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Kerajaan Perpaduan mengumumkan bahawa International Petroleum Investment Co (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi telah bersetuju untuk membayar balik AS$1.8 bilion (RM8.08 bilion) terus kepada Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, difahamkan Abu Dhabi turut memberi komitmen untuk melabur sebanyak AS$1.5 bilion (RM6.73 bilion) di negara ini.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menjelaskan, setiap ringgit wang 1MDB yang hilang adalah selepas ia dijamin atau dipindahkan ke IPIC dan atas sebab itu, Najib menandatangani perjanjian penyelesaian antara 1MDB dan IPIC pada 2017.

Beliau memberitahu, Najib berbuat demikian untuk mendapatkan kembali antara AS$4.5 bilion sehingga AS$7 bilion supaya tiada wang 1MDB yang kekal hilang.

“Panggilan telefon antara Najib dan Putera Mahkota Abu Dhabi (kini Presiden Emiriah Arab Bersatu) pada 22 Julai 2016 yang dibocorkan oleh Latheefa Koya sebenarnya membuktikan rundingan dan usaha Najib untuk mendapatkan semula wang yang akhirnya membawa kepada perjanjian penyelesaian pada 2017,” katanya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak menambah, perjanjian tersebut menetapkan 30 Disember 2020 sebagai tarikh akhir bagi IPIC mengembalikan wang tersebut kepada kerajaan Malaysia.

“Tetapi Dr. Mahathir dan Tommy segera membatalkan perjanjian penyelesaian tersebut sejurus mereka berkuasa supaya naratif wang 1MDB ‘kekal hilang’ boleh diteruskan.

“Untuk ‘menambah keparahan’ terhadap naratif ini, mereka kemudiannya mendakwa Najib pecah amanah sebanyak RM6.6 bilion dalam urusan penyelesaian IPIC ini sejurus selepas mereka membatalkan perjanjian penyelesaian tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, selama empat tahun berturut-turut, Najib telah berulang kali mendesak ketiga-tiga kerajaan Malaysia selepasnya untuk meneruskan penyelesaian IPIC tersebut dan kali terakhir adalah pada Mac 2022 di Parlimen.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, penyelesaian tersebut membuktikan Najib tidak menyebabkan Malaysia kehilangan wang tetapi mereka tidak mengendahkan desakan itu.

Beliau menambah, walaupun nilai AS$1.8 bilion yang diterima itu kurang daripada AS$4.5 bilion hingga AS$7 bilion di bawah perjanjian penyelesaian asal zaman Najib, RM8.08 bilion yang diperolehi itu masih lebih tinggi nilainya berbanding RM6.6 bilion nilai pecah amanah yang dikenakan ke atas bekas Presiden UMNO itu.

“Najib mungkin merupakan satu-satunya manusia di dunia yang didakwa ‘mencuri’ wang lebih rendah dari nilai sebenar yang ditemui semula,” katanya. – MalaysiaGazette