Mohd Ali Mansor

MELAKA – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menyasarkan sekurang-kurangnya negara mempunyai 1,000 buah koperasi berkala besar dan sederhana untuk menyumbang perolehan RM60 bilion menjelang Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030)

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Ali Mansor bagaimanapun berkata, angka itu masih terlalu jauh untuk dicapai apabila sehingga kini hanya menyaksikan 479 koperasi berskala itu daripada keseluruhan 15,315 koperasi di seluruh negara setakat Disember lalu

“Inilah cabaran yang terpaksa kita hadapi kerana kalau kita lihat dalam DSN2030, kita sasarkan perolehan tahunan seluruh koperasi akan mencapai RM60 bilion tapi sekarang ini kita masih belum lepasi RM40 bilion.

“Ini sesuatu yang sukar tapi dapat dicapai kalau kita boleh perkasakan 1,000 koperasi kecil ini menjadi besar dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Bicara Kejayaan Koperasi: Koperasi Keluarga Hajah Che Me Melaka Berhad (KOCHEME) Dari Lendu ke London anjuran IKMa di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Ali berkata, jurang yang jauh antara 479 koperasi berskala besar dan sederhana yang menyumbang 95 peratus daripada keseluruhan perolehan RM40 bilion itu dibimbangi akan merugikan kerajaan.

“Maknanya kita ada baki 14,836 koperasi berskala kecil dan mikro yang tidak menyumbang cukai kepada kerajaan tetapi mereka bergantung kepada bantuan, geran dan juga pinjaman yang perolehi daripada cukai koperasi besar dan sederhana ini.

“Jika keadaan jurang ini kita biar terus melebar, sektor koperasi akan menghadapi masalah sebab itu kita perlu terus perkasakan lebih 14,000 koperasi kecil dan mikro ini dapat terus dilonjakkan perolehan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette