Gambar hiasan

MELAKA – Polis Kontinjen Melaka menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan tertangkapnya dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah kondominium di Tanjong Keling, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dua pengedar dadah berusia 24 dan 35 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 pagi hasil serbuan sepasukan jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 3.16 kilogram yang dianggarkan bernilai RM114,668 yang boleh digunakan oleh 15,820 orang penagih

“Siasatan awal mendapati kita percaya kedua-dua suspek aktif sejak Jun tahun lalu dengan menjadikan kondominium yang disewa itu sebagai tempat pembungkusan dadah sebelum diedarkan di sekitar Batu Pahat dan Johor Bahru.

“Turut dirampas dalam serbuan adalah harta kedua-dua suspek antaranya barang kemas dianggarkan bernilai RM21,763 selain wang tunai berjumlah RM13,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM136,431,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua individu positif dadah jenis syabu atau methamphethamine selain turut mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua mereka direman selama tujuh hari sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau dikenakan tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast