Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Peguam mewakili Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sekali lagi menegaskan tindakan suami kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menulis di laman sosialnya sebagai satu ‘deklarasi kebencian’ terhadap bekas perdana menteri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 dahulu.

Malah ianya bukan seperti didakwa pihak pendakwa yang kononnya kenyataan itu hanyalah pandangan seorang rakyat biasa terhadap kekalahan Najib sebaliknya rasa benci terhadap anak guamnya, tegas Muhammad Shafee.

Hujah Muhammad Shafee, suami kepada Tengku Maimun, Zamani Ibrahim yang menulis hantaran itu di Facebook (FB) sebenarnya membuktikan kebencian terbuka lelaki itu terhadap Najib.

“Ini adalah public hatred. Beliau juga adalah suami kepada Ketua Hakim Negara. Tulisan beliau telah menyebabkan rasa benci. Anda tidak boleh cakap ianya adalah tulisan empat tahun lepas dan tidak ada kena mengena dengan pendakwaan yang sedang dilakukan ketika ini.

“Sepatutnya sebagai Ketua Hakim, beliau sepatutnya tahu tentang hantaran FB dan bertanya kepada peguam anak guam saya adakah beliau harus menarik diri daripada mendengar rayuan akhir Najib tahun lalu.

“Hantaran FB sudah diketahui oleh umum sejak 2018 sehinggalah tahun 2022,” katanya di hadapan lima panel hakim yang dipengerusikan oleh oleh Datuk Abdul Rahman Sebli.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang membabitkan anak guamnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2023.

Turut bersidang ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Untuk makluman, ketika ini, Muhammad Shafee berhujah menggulung pada prosiding semakan membatalkan keputusan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya dalam kes rasuah membabitkan dana RM42 juta SRC International memasuki hari ke-6 di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kata Muhammad Shafee lagi, Tengku Maimun mempunyai konflik kepentingan susulan suaminya membuat hantaran mempunyai sentimen negatif terhadap bekas Presiden UMNO itu di laman sosial beliau empat tahun lepas.

Sebelum ini ketika pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berhujah menegaskan, hantaran itu tidak menunjukkan Zamani mempunyai permusuhan peribadi terhadap Najib.

“Ia adalah komen umum ‘rakyat’ di FB, permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri ketika rayuan akhir tahun lalu berikutan dakwaan konflik kepentingan adalah percubaan terdesak di saat akhir untuk mengganggu prosiding rayuan,” dakwa Sithambaram.

Dalam prosiding rayuan akhir tahun lalu itu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib supaya Tengku Maimun yang mempengerusikan panel lima hakim menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.

Keputusan itu dicapai sebulat suara panel selepas mendapati permohonan terbabit gagal menunjukkan terdapat bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah.

Prosiding bersambung dengan Muhammad Shafee akan menamatkan hujahnya petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast