TAMPIN – Beberapa kawasan di sekitar kawasan Gemas dan Gemencheh dilanda banjir ekoran hujan berterusan sejak awal pagi tadi.
Menurut Pejabat Penerangan Daerah Tampin, lokasi-lokasi tersebut adalah pekan Gemas terutamanya di jalan besar Tampin-Gemas (hadapan jalan masuk Kem Syed Sirajuddin dan pasar raya TF Gemas, Felda Jelai 4, Kampung Gedok dan Kampung Air Kuning.
“Siren amaran awal banjir juga telah berbunyi di Kampung Air Kuning dan Felda Jelai,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Paras air sungai di beberapa kawasan seperti Empangan Gedok Gemencheh, Sungai Gemas (Kampung Tiong) dan Sungai Muar (Pekan Rompin) juga sedang meningkat dan berada pada tahap waspada.
Tebing runtuh turut dilaporkan berdekatan kawasan kediaman penduduk di Felda Jelai 4.
Pusat pemindahan sementara (PPS) yang pertama dalam kejadian banjir kali ini telah dibuka di Sekolah Agama Rakyat Felda Jelai 4.
Pejabat Penerangan Daerah Tampin menambah, pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bergerak ke lokasi-lokasi terjejas bagi memantau situasi terkini.
“Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Tampin telah bergerak ke lokasi terjejas dan akan mengadakan hebahan amaran banjir dan siap siaga menghadapi banjir kepada penduduk sekitar agar orang ramai lebih peka serta mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette