KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik insentif yang diberikan kepada peminjam PTPTN melalui pembentangan Belanjawan 2023.
Menurut kenyataan PTPTN, insentif yang diberikan kepada peminjam perbaanan itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong usaha PTPTN memastikan kebajikan para peminjam dan kelestarian dana pinjaman pendidikan untuk generasi akan datang.
Katanya, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan dua inisiatif iaitu pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan mulai 1 Mac 2023 dan pemberian penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan.
Tambahnya, permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023.
Jelasnya, pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus berkuatkuasa mulai 1 Mac hingga 31 Mei 2023 meliputi empat kategori.
Ia meliputi diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman,diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.
Diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik dan diskaun 5 peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.
“Semua peminjam PTPTN termasuk yang telah dikenakan tindakan
penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif ini,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang telah disediakan.
PTPTN berkata, peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) adalah layak mendapat diskaun 15 peratus secara automatik.
Manakala, peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) pula boleh membuat permohonan melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN.
Katanya, selain itu, diskaun 5% juga diberikan bagi bayaran balik yang dibuat melalui aplikasi myPTPTN.
Bagi penangguhan pembayaran balik, PTPTN berkata, semua peminjam yang dalam tempoh membayar balik dan mempunyai
pendapatan bulanan RM1,800.00 (gaji kasar) ke bawah layak memohon penangguhan kecuali peminjam yang telah menyertai Debt Management Programme (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN.
Katanya, permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023 melalui portal rasmi PTPTN dan peminjam perlu melengkapkan maklumat perhubungan, maklumat pekerjaan, memuat naik dokumen pendapatan bulanan terkini dan membuat perakuan kebenaran ke atas maklumat yang diberikan.
“PTPTN akan memaklumkan status kelulusan melalui e-mel yang dikemas kini semasa peminjam membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima.
“Peminjam yang diluluskan penangguhan, akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuatkuasa. Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan lanjut, peminjam boleh mendapatkan informasi melalui ruangan Soalan Lazim Belanjawan 2023 di portal rasmi PTPTN di alamat www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di talian 03 – 2193 3000, Live Chat di www.ptptn.gov.my, e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my, Eksekutif Pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn atau media sosial rasmi PTPTN. – MalaysiaGazette