Mohd Puad Zarkashi Najib dibebaskan pas kingmaker Muhyiddin wang RCI Tommy Puad Nazlan DAP takut sanusi the untold story Anwar UMNO
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan sikap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang masih berdiam diri dalam isu membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa hasil siasatan kes tersebut telah diserahkan kepada Tengku Maimun dan Idrus.

Mohd. Puad menyatakan, tiada siapa yang mahu campur tangan politik dalam sistem keadilan.

“Masalahnya ada yang main politik tetapi bukan dalam gelanggang politik. Itu yang payahnya.

“Faham-faham sahajalah apa maksudnya. Akhirnya yang jadi mangsa adalah orang politik seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu, Azalina memaklumkan, laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan ke atas isu kebocoran penyiasatan berkaitan kes Mohd. Nazlan telah selesai dijalankan dan telah diserahkan kepada Tengku Maimun.

Beliau menambah, laporan tersebut adalah berkaitan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 namun tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu dinyatakan oleh SPRM dalam surat kepadanya. – MalaysiaGazette