Tony Pua. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, menggantung sementara prosiding saman yang dikemukakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga selesai.

Peguam yang mewakili Tony Pua, Tan Cheng Leong berkata, keputusan penggantungan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, ketika pengurusan kes berkenaan secara dalam talian hari ini.

“Hakim tetapkan 8 November depan bagi pengurusan kes untuk mengetahui terlebih dahulu perkembangan perbicaraan yang sedang berlangsung,” katanya kepada media hari ini.

Pada 2017, Tony Pua menyaman Najib dan kerajaan Malaysia atas dakwaan Perdana Menteri ketika itu terbabit dalam salah laku pentadbiran awam dan Kerajaan Malaysia membabitkan 1MDB.

Beliau mendakwa, Najib ketika itu menjawat jawatan dalam kerajaan dan Ahli Parlimen Pekan selain Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB memainkan peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan serta hala tuju syarikat dana strategik itu.

Mahkamah Tinggi pernah menolak saman Tony Pua atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam.

Tony Pua kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan pada Julai 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas rayuannya ditolak, namun mendapat kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mahkamah memutuskan Pua boleh meneruskan samannya terhadap Najib dan Kerajaan Malaysia melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sivil atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam.  -MalaysiaGazette