KUALA LUMPUR – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) melahirkan rasa pelik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penjimatan kira-kira RM2 bilion selepas tiga projek tebatan banjir ditamatkan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoalkan tindakan tersebut berkata, bagaimana penjimatan diperoleh sedangkan projek tersebut belum bermula.
“Saya rasa pelik sebab projek yang nak ditamatkan ini belum mula, belum laksana, belum ada Surat Setuju Terima, belum lantik kontraktor.
“Bagaimana kerajaan tiba-tiba nak umum batalkan perkara yang belum mula, yang peliknya umum penjimatan.
“Saya fikir kalau kita tunda projek tersebut, bukan penjimatan (dapat dicapai) tapi kerajaan berdepan kerugian pula,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Pada Disember lalu, Anwar menjelaskan, projek bernilai RM7 bilion itu tidak diteruskan.
Beliau berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mendesak agar Anwar menjelaskan isu penamatan itu kepada sidang Dewan Rakyat.
Bingkas bangun, Datuk Rosol Wahid (PN – Hulu Terengganu) mencelah dengan menyatakan Perdana Menteri mungkin tidak faham apa yang dikatakan beliau berhubung isu tersebut.
“Projek tebatan banjir, setuju atau tidak apa yang dicakapkan PM mungkin tak faham apa yang diperkatakan atau tidak faham macam burung tiong bercakap?” soal Rosol.
“Burung tiong itu saya setuju, sebab dia pun tak faham apa yang dia cakap.
“Dewan kena dapatkan penjelasan yang jelas tentang isu ini,” balas Tuan Ibrahim. – MalaysiaGazette
Lebai man, bila dh rancang nk jalankan projek mesti dh tengok berapa bajet yg dah ada.. bukan rancang dulu projek baru cari duit.. dah ada duit baru rancang projek