Foto: Sekretariat Presiden

JAKARTA – Penyertaan Malaysia dalam projek stesen jana kuasa hidroelektrik di Kalimantan Utara adalah manifestasi kerjasama baik antara kedua-dua negara, kata Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi turut meluahkan rasa gembira dengan perkembangan itu dan percaya projek bernilai US$2.6 bilion berkenaan mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyatnya.

“Saya sangat gembira kerana projek stesen jana kuasa hidroelektrik Mentarang telah bermula.

“Dan, saya lebih gembira projek ini dilakukan oleh konsortium Indonesia-Malaysia, menunjukkan kita sebagai saudara benar-benar boleh bekerjasama dengan baik,” katanya di majlis pecah tanah di Malinau, yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Projek hidroelektrik Mentarang akan menjana 1,375 megawatt tenaga elektrik untuk zon industri Kalimantan Utara, dan pembinaan dijangka bermula suku pertama 2024 serta siap sepenuhnya pada penghujung 2029.

Pembinaan itu melibatkan syarikat pegangan pelaburan Indonesia, PT Kayan Hydropower Nusantara dan syarikat pembekal tenaga utama milik kerajaan Sarawak, Sarawak Energy Bhd.

Menurut pejabat Sekretariat Presiden, Jokowi turut meninjau Kawasan Kalimantan Industrial Park (KKIP) seluas 13,000 hektar di Bulungan, sebuah industri pengeluaran bateri elektrik, petrokimia dan alumunium.

“Tenaga elektrik dari projek hydro Mentarang akan disalurkan ke KKIP,” kata Jokowi. – Bernama