BANGI — Pemimpin belia dalam kalangan Orang Asli akan dilantik sebagai Senator bagi mewakili kaum itu di Parlimen pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beliau berstuju dengan cadangan wakil Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM), Clive Allen Williams Hunt pada Karnival Belia Orang Asli Rentas Desa Sejahtera (K-BOARDS 2.0) semalam.

“Allen meminta Senator Orang Asli daripada wakil belia. Senator Orang Asli baru sahaja dilantik, tetapi InsyaAllah akan datang kita lantik (Senator) dalam kalangan pemimpin belia Orang Asli,” katanya ketika berucap pada karnival tersebut, di sini, semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa mengumumkan kelulusan permohonan dana sebanyak RM200,000 daripada peruntukan bagi pembangunan MBOAM.

Tambah beliau, selain itu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga akan menyumbangkan RM200,000 dalam bentuk peralatan kepada pertubuhan itu.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mahu sekurang-kurangnya 300 belia Orang Asli memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya, beliau juga mahu 800 belia masyarakat itu memasuki kolej dan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pada tahun ini berbanding 700 orang pada tahun lalu.

“Saya harapkan kemajuan dalam kalangan belia Orang Asli bukan hanya dari segi meningkatkan ekonomi dan keusahawanan, tapi mereka harus diberi peluang sama rata dan mengikuti lebih banyak kursus profesional serta masuk ke universiti dalam negara dan luar negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette