KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan Harga Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP) yang baharu adalah lebih rendah berbanding MSAP sebelum ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, harga baharu untuk 2023 adalah RM254.64 sebulan dengan mengambil contoh harga perkhidmatan borong jalur lebar berkelajuan tinggi 100 Mbps.
Menurut beliau, harga itu lebih rendah berbanding RM515 sebulan dalam MASP sebelum ini.
“Secara tidak langsung, perkhidmatan yang diberi kepada pengguna di peringkat runcit boleh ditawarkan pada harga yang lebih rendah dan berdaya saing atau pada kelajuan yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH – Kota Melaka) yang mahukan penjelasan berhubung MASP yang dilaksanakan bermula 1 Mac 2023.
Fahmi menambah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menggunakan instrumen lain untuk membuat kawal selia dari segi mutu perkhidmatan antaranya ialah melalui Mandatory Standard Quality of Service (MS QoS) dan pelaksanaan audit berkala terhadap syarikat penyedia perkhidmatan. – MalaysiaGazette